Iklankan Barangan Anda Disini.

Selasa, 22 Oktober 2013

Hadith yang ke-36 Daripada Kitab Hadith 40 ~ Imam Nawawi.


Assalamualaikum dan salam sejahtera ke atas junjungan mulia baginda yang telah berusaha menyebarkan ugama Islam sehingga cahaya Islam sampai kepada kita hari ni....Sekian lama jari jemari saya tidak menari di laman ini oleh kerana masa yang padat dengan aktiviti bagi meneruskan dan memastikan ugama Allah dapat ditegakkan dibumi Malaysia yang bagi saya amat bertuah & penuh keistimewaan. Dikesempatan ini saya ingin berkongsi satu hadith ke-36 daripada kitab Hadith 40 Imam Nawawi.




ن أبي هریرة t عن النبي e قال: (( من نفس عن مؤمن آربة من آرب الدنيا نفس الله
عنه آربة من آرب یوم القيامة، ومن یسر على معسر یسر الله عليه في الدنيا والآخرة،
ومن ستر مسلما ستره الله في الدنيا والآخرة، والله في عون العبد ما آان العبد في عون
أخيه، ومن سلك طریقا یلتمس فيه علما سهل الله له طریقا إلى الجنة، وما اجتمع قوم في
بيت من بيوت الله یتلون آتاب الله ویتدارسونه بينهم، إلا نزلت عليهم السكينة وغشيتهم
الرحمة، وحفتهم الملائكة، وذآرهم الله فيمن عنده ومن بطأ به عملُه لم یسرع به نسبه ))
رواه مسلم بهذا اللفظ.


Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:

Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.


~~~Pengajaran Hadith~~~

(1) lslam adalah agama tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.

(2) lslam menggalakkan umatnya agar selalu melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam kesusahan hidup dan melindunginya serta memelihara ke'aibannya daripada disebarluaskan di kalangan manusia. Semua perbuatan tersebut dijanjikan Allah balasan yang setara dan setimpal dengan perbuatannya.

(3) Allah akan sentiasa menolong hamba-hambaNya selagimana mereka suka tolong menolong sesama mereka.

(4) llmu adalah cahaya menuju ke syurga. Barangsiapa yang menuntut ilmu, dengan niat ikhlas, Allah menjanjikan baginya kemudahan menuju jalan ke syurga.

(5) Berkumpul dan mengkaji al-Qur'an dan ilmu di masjid adalah antara amalan yang amat diberkati Allah. Para malaikat turun mengelingi mereka, ketenangan dan rahmat menyelubungi mereka. Mereka mendapat penghormatan agung dari Allah SWT apabila Dia menyebut nama mereka kepada para penghuni langit.

(6) Sesungguhnya manusia dimuliakan dan memasuki syurga dengan amalannya dan rahmat Allah, bukannya dengan keturunan. Barangsiapa yang amalannya kurang dan atau amalan jahatnya menyusahkannya di akhirat nanti, nasab keturunan kebangsawanannya tidak mampu sama sekali memberi syafa'at kepadanya. Secara tidak langsung hadis ini menggesa umat lslam agar berbekal dengan amalan soleh untuk menghadapi hari akhirat nanti.

wallahu'alam..

Copy











Jumaat, 19 Julai 2013

RAMADHAN ADALAH BULAN UNTUK UNTUK SERVIS JASMANI DAN ROHANI

Masa begitu cepat berlalu, sedar tak sedar sudah masuk hari ke sepuluh berpuasa. Bulan Ramadhan dari awal hingga ke akhir adalah rahmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja sepuluh yang terawalnya sahaja. Kita dapat memerhatikan daripada bulan Ramadhan itu terserlah padanya sifat ‘Rahmah ‘ ( kasih sayang ) Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Allah mengasihi hamba-hambanya dan menganugerahkan kepada mereka bulan Ramadhan sebagai satu pakej lengkap untuk servis diri masing-masing kerana setiap insan melakukan salah dan silap kecuali nabi-nabi sahaja yang dipelihara oleh Allah daripada dosa. Umpama motosikal atau kereta yang digunakan pada hari ini, tidak dapat tidak mestilah diservis secara berkala atau setiap bulan, mesti ditukar minyak enjin, filter, minyak break dan lain-lain lagi. Jika tidak maka motosikal atau kereta akan berdepan dengan berbagai-bagai masaalah. 

Allah menjadikan manusia secara fitrah mengandungi dua unsur, rohani dan jasmani kedua-duanya melengkapi di antara satu dengan yang lain. Kedua-dua unsur ini perlu diservis secara berterusan, jasmani dengan makanan dan minuman yang halal, adapun rohani pula dengan ibadah-ibadah dan ketaatan kepada Allah. Dalam tempoh setahun Islam memperuntukkan kepada penganutnya satu bulan iaitu bulan Ramadhan yang penuh di dalamnya pakej-pakej untuk servis jasmani dan rohani diri. Di dalamnya terdapat ibadah puasa satu ibadah yang bukan sahaja boleh memberikan kesihatan tubuh badan sebagaimana yang diakui oleh pakar-pakar perubatan bahkan lebih daripada itu lagi ianya adalah baja untuk menyuburkan rohani seseorang. Ibadah puasa membuang sifat-sifat mazmumah yang ada di dalam diri umpama membuang minyak kotor daripada enjin. Seseorang yang berpuasa tidak ada perasaan riya’ di dalam dirinya, kepada siapa dia mahu tunjuk-tunjukkan kerana semua orang Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Seseorang yang berpuasa melemahkan hawa nafsu yang didorong oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran dan maksiat sebagaimana penafsiran setengah ulama kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Apabila masuknya bulan ramadhan maka syaitan-syaitan dibelenggu “ 




Seseorang yang berpuasa melatih dirinya untuk bersyukur akan ni’mat Allah yang melimpah ruah apabila melihat hidangan berbuka di hadapannya dan dia bergembira dengannya, bergembira pun dikira sebagai satu ibadah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan TuhanNya”.

Dan sudah tentu kemuncaknya apabila seseorang itu berpuasa akan meningkatkan lagi ketaqwaannya kepada Allah. Dia tinggal makan dan minumnya bukan kerana dipaksa dan bukan kerana diupah tetapi adalah hanya kerana melaksanakan perintah Allah Taala. Firman Allah yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa kepada Allah “.

Selamat melaksanakan ibadah puasa…




Rabu, 10 Julai 2013

MESIR: REVOLUSI YANG BELUM BERAKHIR

MESIR: REVOLUSI YANG BELUM BERAKHIR


Sebaik saja mendapat maklumat daripada kawan-kawan di Mesir mengenai kemuncak perancangan untuk menjatuhkan Presiden Mohammed Mursi saya terpaku di hadapan television mengikuti perkembangan di sana melalui stesen tv Al-Jazeera. Hampir jam 230 am 3 julai maka keluarlah berita rasmi Presiden Mursi digulingkan oleh tentera. Abdul Fatah As-Sisi, Menteri Pertahanan yang dilantik oleh Mursi muncul bersama-sama dengan pimpinan gerakan tamarrud-rebel mengumumkan berita yang mengejutkan ini. Mesir menambah satu lagi koleksi sejarah selepas Firaun, Namrud dan Qarun iaitu Abdul Fatah As-Sisi adalah jeneral tentera pertama yang menjatuhkan presiden yang dipilih oleh rakyat dengan jalan demokrasi yang diiktiraf oleh negara dan badan-badan dunia. Sejurus selepas penggulingan kuasa ini As-Sisi telah mengumumkan bahawa perlembagaan digantung buat sementara waktu, pelantikan presiden sementara dan dipercepatkan pilihanraya presiden.

Kejatuhan Mursi tidak akan berlaku melainkan dengan sokongan pihak tentera dan gerakan massa daripada rakyat bawahan. Pihak tentera khususnya yang berpangkat tinggi walaupun masih dilihat tergugat cengkaman mereka selepas kejatuhan Hosni Mubarak tetapi mereka hanya menunggu peluang yang baik untuk menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Akhirnya peluang itu datang apabila gerakan tamarrud digerakkan oleh Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi yang diwakili oleh parti-parti sekular, nasionalis dan kumpulan upahan Islam berjaya mengupah orang awam biasa yang mudah termakan dengan umpan wang ringgit yang sedikit kerana kesempitan hidup, mereka keluar di dalam himpunan dan demonstrasi dalam masa yang sama disokong oleh media upahan yang membesar-besarkan protes ini. Padahal himpunan penyokong Morsi lebih ramai jika dibandingkan dengan himpunan yang dilakukan oleh golongan tamarrud ini.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera ini menimbulkan berbagai kemungkinan senario politik yang berlaku di Mesir samaada ianya akan bertambah reda dengan penyertaan pelbagai pihak untuk merangka pelan politik pasca kerajaan pimpinan Mohammad Mursi atau ianya akan berubah menjadi semakin parah dengan pertembungan antara penyokong Mohammad Mursi dan kalangan pembangkang dan lebih bahaya lagi ianya boleh membawa kepada pertempuran berdarah di wilayah-wilayah yang banyak dipengaruhi oleh golongan Islam yang banyak ditindas oleh pihak tentera sejak dari zaman berzaman.

Rampasan kuasa yang berlaku di Mesir ini bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku di Algeria pada awal 1990 an apabila parti Islam FIS menang dalam pilihanraya, pihak tentera ambil alih kuasa dan pimpinan FIS dipenjarakan seperti Abbasi Madani, Ali Belhadj dan lain-lain lagi. Begitu juga ianya pernah berlaku beberapa kali di Turki antaranya ketika parti Refah yang diketuai oleh almarhum Nejmuddin Erbakan mengambil alih kuasa pihak tentera masuk campur dan kerajaan pimpinan parti Refah digulingkan. Akan tetapi tindak balas pihak tentera menggulingkan Mohammad Mursi di Mesir ini berbeza kerana beberapa sebab antaranya:
1- Kuasa yang diperolehi oleh golongan Islam samaada gerakan Islam yang sederhana iaitu Ikhwan Muslimun melalui sayap politiknya parti Hurriyyah wa Al-‘adalah-Freedom and Justice atau yang mengikut aliran-aliran yang lain dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun lepas seolah-olah mutlak bukan sahaja menguasai parlimen bahkan juga Majlis Syura dan Presiden yang dipilih juga adalah calon daripada Ikhwan Muslimin. Pengaruh Ikhwan Muslimun di dalam tampuk pemerintahan ini sangat dibimbangi oleh Israel dan Amerika Syarikat dan ianya juga dilihat boleh menggugat negara-negara Arab lain khususnya negara Teluk yang diperintah oleh sistem beraja yang mutlak dan menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimun adalah Gerakan Islam paling lama yang sudah bertapak lebih daripada 80 tahun dan paling berpengaruh yang mempunyai cabang-cabang di seluruh negara Arab.
2- Kedudukan Mesir yang begitu strategik di dunia Islam samaada dari sudut ketenteraan, sosial politik dan geografi politik. Negara Mesir adalah antara negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam teramai di negara Arab khususnya di kalangan Ahl As-Sunnah. Di tambah lagi dengan kedudukan geografinya yang begitu strategik, bersempadan dengan Israel dan juga Gaza yang dikuasai oleh kumpulan Islam HAMAS. Kewujudan Terusan Suez juga adalah yang menjadi penghubung laluan kapal-kapal dari seluruh pelusuk dunia juga memainkan peranan yang penting ditambah lagi dengan kesuburan tanahnya khususnya delta sungai Nil yang menjadi sumber pertanian yang besar.
3- Di sepanjang sejarah kebangkitan Islam, Mesir memainkan peranan yang sangat signifikan ketika umat Islam berada di saat-saat yang cemas dan genting. Pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salibiyyin oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bermula di Mesir iaitu setelah baginda mengambil alih pemerintahan kerajaan Fatimiyyah dan akhirnya berjaya menyatukan umat Islam sehingga berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 583 hijrah. Begitu juga Ketika kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad dibadai oleh bala tentera Tatar, seolah-seolah kerajaan Islam sudah berkubur, ribuan umat Islam dibunuh, masjid-masjid dimusnahkan dan kitab-kitab dijadikan jambatan di atas sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya bertukar menjadi hitam. Lalu Sultan Qutuz yang merupakan salah seorang sultan daripada kerajaan Mamalik yang berpusat di Mesir memimpin umat Islam dan mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah.
Maka di atas dasar ini tidak mungkin samasekali Amerika Syarikat akan berdiam diri dengan perkembangan yang berlaku. Ini juga berkait dengan masa depan negara haram Israel yang begitu tertekan dengan penguasaan golongan Islam di Mesir yang sudah tentu memberikan kekuatan kepada kerajaan HAMAS di Gaza yang menjadi duri di dalam daging kepada Israel. Ringkasnya sesuatu mesti dilakukan untuk menyekat ‘bahaya’ ini.

Setelah berlalunya revolusi 25 Januari yang menjatuhkan Hosni Mubarak dan kemenangan golongan Islam di dalam pilihanraya yang diadakan khususnya kemenangan Dr Mohammad Mursi sebagai presiden, tiada siapa yang menjangka akan berlaku satu lagi revolusi. Seolah-olah semuanya berjalan dengan baik kerana inilah jalan demokrasi, pihak yang kalah mestilah menerima kekalahan walaupun sepahit mana sekali pun tetapi apa yang berlaku mendedahkan wajah sebenar golongan Sekularis, Libralis dan Nasionalis yang tidak boleh menerima samasekali kemenangan golongan Islam. Demokrasi bagi mereka tidak boleh diterima jika sekiranya golongan Islam yang menang, mereka tidak akan berdiam diri kerana mereka tahu mereka disokong oleh kuasa-kuasa besar, inilah sikap hipokrit negara-negara Barat yang kononnya bertuhankan kepada Demokrasi. Setelah Dr Mohammad Mursi disingkirkan tidak ada negara yang mengecamnya melainkan Turki dan beberapa badan seperti Kesatuan Afrika. Mereka yang paling gembira ialah negara-negara Arab Teluk khususnya Arab Saudi dan UAE yang tidak berselindung langsung kegembiraan mereka dengan kejatuhan Mursi dan kerajaan pimpinannya, senada dengan kenyataan di dada akhbar-akhbar utama Israel yang menghemburkan pujian kepada As-Sisi kerana berjaya menggulingkan golongan Islam daripada tampuk pemerintahan.

Pada hari ini genap seminggu rampasan tentera di Mesir, keadaan masih kucar kacir, Adnan Mansor presiden sementara yang dilantik masih lagi gagal untuk membentuk kerajaan sementara. Penyokong-penyokong Morsi memenuhi dataran-dataran di seluruh Mesir dalam masa yang sama mereka yang menyokong penyingkiran Morsi semakin surut kewujudan mereka di Dataran Tahrir. Puluhan penyokong Morsi dibunuh dengan begitu kejam ketika mereka menunaikan solat subuh ratusan lagi yang tercedera. Pihak-pihak yang bergabung di dalam gabungan Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi pimpinan Mohammed El-Baredai dan lain-lain lagi makin tidak sependapat dengan pelan yang digariskan oleh pihak tentera. Berpuluh-puluh pimpinan Ikhwan Muslimun ditahan dan dipenjarakan, yang masih kekal bersama-sama dengan orang ramai menyatakan bahawa mereka tidak berganjak sehingga kuasa dikembalikan kepada Mursi. Al-Ustaz Mohammad Badi’, Mursyid Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa rakyat yang berhimpun dengan aman lebih berkuasa daripada peluru-peluru hidup dan kereta-kereta kebal, kenyataan yang memberikan gambaran revolusi di bumi mesir belum lagi berakhir.

Dipetik dari :https://www.facebook.com/muhammadkhalil.abdulhadi

Rabu, 26 Jun 2013

5 TIPS

5 TIPS mendidik anak Soleh & Solehah

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat iyakanakbudu waiyakanastain.....

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!....

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat....

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

Jumaat, 22 Mac 2013

EMPAT TANDA HIDUP TAK BERKAT

-Sekadar Hiasan-

EMPAT TANDA HIDUP TAK BERKAT

Tanda-tanda hidup kita tak berkat ialah :

1. Duit banyak, tapi cepat jer habis.
Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup jer. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.

2. Buat kerja, tak siap.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu, tak dapat manfaat.
Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat orang pandai, tapi diri pun tunggang langgang.

4. Masa habis dengan sia-sia.
Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan. Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit. Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.

Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas?

Mari kita sama-sama muhasabah diri. Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Rabu, 9 Januari 2013

Siapa teman setia???






Ertinya:
Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada tiga macam yang akan menghantarkan jenazah ketika dibawa ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua di antaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal menyertainya. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalnya akan tetap setia bersamanya.”
Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim

Keterangan:
Inilah kesudahan bagi persahabatan kita kepada tiga-tiga golongan ini. Isteri yang kita cintai dan anak-anak yang kita sayangi dan juga kaum kerabat, mereka hanya dapat menghantarkan kita sampai ke tanah perkuburan dan hanya dapat mengucapkan selamat tinggal kepada kita ketika melihat badan kita terbujur sejuk di liang kubur. Tiada seorang pun yang bersedia untuk menjadi teman kita di kesunyian kubur. Mereka akan pulang setelah menimbuni tanah ke atas liang kubur kita. Begitu pula harta yang kita kumpulkan dengan membanting tulang dan memeras keringat bahkan terkadang dengan mempertaruhkan nyawa, semuanya akan kita tinggalkan untuk ahli waris. Mereka yang akan mempusakai dan menikmatinya, sedangkan kita yang akan ditanya dari mana harta itu diperoleh dan ke mana kita membelanjakannya. Orang yang bijak ialah orang yang mempunyai rancangan bagi wawasan akhiratnya dan bersedia menghadapi kematian sebelum tiba saatnya. Tetapi orang yang terpedaya ialah orang yang banyak berangan-angan, mengejar dunia dan menimbun harta. Maka apabila tiba saat kematian barulah ia menyedari diri dan barulah berazam untuk berbuat kebajikan. Namun pada waktu itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.
Oleh kerana itu, perbanyaklah berbuat kebajikan, tingkatkan ketaqwaan, buatlah bekalan akhirat sedaya upaya yang ada. Rajin bersedekah dan suka menderma untuk membuat bekalan bagi perjalanan negeri akhirat yang sangat jauh itu.

Selasa, 25 Disember 2012

Doa Yang Tidak Ditolak


Doa Yang Tidak Ditolak
Berdoa adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan. Allah menyuruh kita berdoa seperti terdapat dalam al-Quran:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al Baqarah: 186)
Ada beberapa situasi berdoa yang tidak ditolak oleh Allah dan ada doa yang dijanjikan akan dimakbulkan. Berikut ini ialah beberapa keadaan iaitu doa tidak ditolak:
Doa Tidak ditolak
Berdoalah ketika hujan kerana waktu itu doa mustajab: “Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”. (HR. Hakim/disahihkan oleh Adz-Dzahabi)
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa daripada seorang yang dizalimi. Allah s.w.t. akan mengangkatnya ke atas awan dan terbuka pintu-pintu langit dan Allah s.w.t. akan berkata, “Demi kemuliaanKu, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi. Menurut Tirmizi, bertaraf hassan. Menurut As-Suyuthi, bertaraf hassan. Menurut Al-Albani bertaraf daif)
Sabda Rasulullah; “Sesungguhnya bagi orang berpuasa – ketika berbukanya – doa yang tidak akan ditolak.” [Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As]
Berikut ini ialah doa-doa yang dijanjikan makbul:
Doa Yang Dimakbulkan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Tuhan kami Tabaraka wa Ta‘ala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam berfirman: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengabulkannya baginya, barangsiapa meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunanKu maka Aku mengampuninya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah ditanya Rasulullah s.a.w.  yang maksudnya: “Doa apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Nabi bersabda: “(Doa tatkala) satu pertiga terakhir malam dan sesudah solat fardu.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Malam Lailatulqadar. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr ayat 3-5 yang tafsirnya :
“Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”
Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda. Artinya: “Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa sebab saat itu sangat tepat untuk dikabulkan”. [Sahih Muslim, kitab Solat bab Nahi An Qiratul Qur'an fi Ruku' wa Sujud 2/48]
Dan Amr bin Ibnu Abasah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tempat yang paling mendekatkan seorang hamba dengan Tuhannya adalah waktu ia dalam sujudnya dan jika ia bangun melaksanakan solat pada sepertiga malam yang akhir. Kerana itu, jika kamu mampu menjadi orang yang berzikir kepada Allah pada saat itu maka jadilah.” (HR. At-Tirmidzi, Ahmad dan di-sahihkan oleh At-Tirmidzi, Al-Hakim, Adz-Dzahabi, dan Al-Albani).
Dipetik dari : http://rahsiarezeki.wordpress.com/tag/doa/

Share button

Share |

Pengikut