Powered By Blogger

Iklankan Barangan Anda Disini.

Rabu, 27 Oktober 2010

Sekadar Kongsi Bersama


Anda mungkin tidak mempercayainya, tapi merupakan nasihat yang baik untuk dibaca!
Anda mungkin mempelajari sesuatu jika membacanya!!!

PERTAMA.
Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.

KEDUA.
Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting pabila usia semakin tua.

KETIGA.
Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu

KEEMPAT .
Apabila kamu berkata, ' Aku Cinta Padamu', maka tunaikanlah.

KELIMA.
Pabila mengatakan, 'Maaf', tenunglah matanya.

KEENAM.
Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.

KETUJUH..
Percayailah cinta pandang pertama.

KELAPAN..
Usah tertawakan impian orang lain.. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.

KESEMBILAN.
Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.

KESEPULUH.
Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.

KESEBELAS.
Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.

KEDUABELAS.
Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.

KETIGABELAS.
Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya,'Kenapa anda ingin tahu?'

KEEMPATBELAS.
Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.

KELIMABELAS.
Ucaplah 'Semoga anda diberkati' apabila mendengar seseorang bersin.

KEENAMBELAS.
Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.

KETUJUHBELAS.
Berpeganglah kepada tiga R:
1. Rasa hormat pada diri sendiri;
2. Rasa hormat kepada orang lain;
3. Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda

KELAPANBELAS.
Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar.

KESEMBILANBELAS.
Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.

KEDUAPULUH.
Tersenyumlah ketika menjawab telefon.. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.

KEDUAPULUH SATU
Ada ketikanya anda perlu bersendirian.

Rabu, 13 Oktober 2010

Allah turunkan bala atas kesalahan manusia : Surah al-An'am ayat 38-39


Allah SWT sahaja yang memberi rezeki kepada makhluknya hatta ulat yang berada dalam batu pun Allah Taala kurniakannya.

Jika demikian, ada orang yang bertanya kenapa ada manusia yang kebuluran, tidak dapat makan terutama penduduk di benua Afrika?

Ketahuilah bahawa berlakukan kebuluran adalah bala yang ditimpakan Allah ke atas manusia akibat perbuatan jahat yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka.

Maka mereka hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan mohonlah keampunan dariNya dan mohonlah agar Allah hilangkan segala kesusahan yang dihadapi oleh kita di dalam kehidupan ini termasuk kebuluran yang dialaminya oleh umat Islam di benua Afrika dan seumpamanya.

Pokoknya ialah Allah memberi rezeki kepada makhluknya sama ada dia hamba-Nya yang beriman atau yang kafir. Semuanya dikurniakan rezeki kerana Allah SWT Maha Pemberi Rezeki kepada semua hamba dan makhluknya di dunia ini.


Satu riwayat daripada Jabir bin Abdillah r.a beliau berkata, "Makanlah belalang kerana ia merupakan satu makanan yang di gemari oleh Sayidina Umar Ibnul Khattab. Satu ketika Sayidina Umar pernah ditanya tentang belalang adakah dia memilikinya. Beliau tidak memperolehi berita mengenainya dan tidak memilikinya buat masa itu dan Sayidina Umar agak sedih kerana tidak dapat sediakan belalang kepada orang yang meminta itu.

"Lalu Sayidina Umar menghantar seseorang untuk mencari serangga tersebut di merata-rata tempat sehingga sampai ke Syria dan Iraq. Setelah puas mencari utusan Umar balik semula menemuinya dan beliau bertanyakan tentang serangga tersebut sama ada utusan itu memperolehinya atau sebaliknya."

Jabir berkata lagi, "Tiba-tiba datang seorang dari Yaman membawa segenggam belalang. Dia membawanya kepada Umar dan menggenggamnya dengan kedua-dua belah tangannya. Apabila Umar melihatnya maka gembiralah ia sambil bertakbir tiga kali. Kemudian Umar berkata, "aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Allah Azza Wajalla telah mencipta 1000 umat. Daripadanya sebanyak 600 umat berada di laut dan 400 umat lagi berada di darat. Dan umat yang paling awal binasa di kalangan mereka ialah belalang. Apabila serangga itu mula binasa akan diikuti dengan kumpulan serangga yang lain mengikut peraturan yang serupa dengan kehancurannya apabila terputusnya rangkaian kehidupannya."

Allah berfirman yang bermaksud, "Kemudian mereka (sekalian) akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Surah al-An'am :38)

Allah menghimpunkan semua makhluk pada hari akhirat kelak. Binatang pun dihimpunkan di sana, di mana ada riwayat mengatakan bagi binatang berlaku berhitungan terhadap mereka di padang mahsyar.

Selepas selesai perhitungan itu dibuat mereka dimatikan oleh Allah. Perhitungan itu dibuat sama ada di antara binatang itu sesama binatang ataupun dengan manusia. Mereka dibalas pada hari tersebut.

Sementara manusia tidak dimatikan oleh Allah. Perhitungan itu dibuat sama ada ke syurga atau neraka. Begitulah juga jin dan syaitan. Mereka diberi balasan setimpal dengan apa yang mereka telah lakukan di dunia dahulu dan kesudahan mereka juga ialah sama ada ke neraka atau ke syurga.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud," dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli." (Surah al-An'am :39)

Yakni perumpamaan sedikitnya ilmu dan kefahaman serta terlalu jahil mereka yang kafir atau munafik itu diumpamakan sebagai manusia yang bisu dan tuli, tidak mahu mendengar keterangan tanda-tanda kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya.

Sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Khathir di dalam kitab tafsirnya, bahawa bersama dengan sifat-sifat tersebut menunjukkan mereka juga berada dalam kegelapan, tidak dapat melihat kebenaran.

Bagaimana mereka berupaya keluar daripada kegelapan dan kesesatan sekiranya sifat mereka sedemikian rupa, sudah tentu mereka tidak akan menemui jalan kebenaran sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud, "perbandingan hal mereka (golongan munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi mereka dan dibiarkan mereka dalam gelap gelita, tidak dapat melihat sesuatu pun.

"Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta, dengan keadaan itu, mereka tidak akan dapat kembali (kepada kebenaran)." Surah al-Baqarah : 17-18)



Dipetik dari : http://presiden.pas.org.my/v2/

Selasa, 28 September 2010

Ibuku seorang pembohong





Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.


Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.


Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.


Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.


Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.


Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.


Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.


Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap ajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.


Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebi dari segala-galanya, tapi tidak pernah sealipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…


Sumber : Cerita dari member2...

Khamis, 23 September 2010

PERUTUSAN HARI MALAYSIA OLEH PRESIDEN PAS


PERUTUSAN HARI MALAYSIA OLEH PRESIDEN PAS

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama. Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi. Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri. Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.



Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

7 Syawal 1431 Hijriah / 16 September 2010


http://presiden.pas.org.my/v2/

Share button

Share |

Pengikut