Jumaat, 23 Julai 2010

Syaaban Oh Syaaban

HARI ini merupakan hari yang ke-11 dalam bulan Syaaban...
Syaaban merupakan bulan yang ke-8 di dalam kalendar Takwim Hijrah.
Bilangan bulan Syaaban adalah 29 hari sekiranya anak bulan kelihatan, atau 30 hari sekiranya anak bulan tidak kelihatan.Selepas bulan Syaaban, umat Islam akan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW telah banyak menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Sabda Nabi s.a.w : Bahawa puasa Sya`ban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya`ban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezekinya. Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah ta`ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat. (Al-Hadis).
Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Aisyah berkata:

“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan