Powered By Blogger

Iklankan Barangan Anda Disini.

Jumaat, 19 Julai 2013

RAMADHAN ADALAH BULAN UNTUK UNTUK SERVIS JASMANI DAN ROHANI

Masa begitu cepat berlalu, sedar tak sedar sudah masuk hari ke sepuluh berpuasa. Bulan Ramadhan dari awal hingga ke akhir adalah rahmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja sepuluh yang terawalnya sahaja. Kita dapat memerhatikan daripada bulan Ramadhan itu terserlah padanya sifat ‘Rahmah ‘ ( kasih sayang ) Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Allah mengasihi hamba-hambanya dan menganugerahkan kepada mereka bulan Ramadhan sebagai satu pakej lengkap untuk servis diri masing-masing kerana setiap insan melakukan salah dan silap kecuali nabi-nabi sahaja yang dipelihara oleh Allah daripada dosa. Umpama motosikal atau kereta yang digunakan pada hari ini, tidak dapat tidak mestilah diservis secara berkala atau setiap bulan, mesti ditukar minyak enjin, filter, minyak break dan lain-lain lagi. Jika tidak maka motosikal atau kereta akan berdepan dengan berbagai-bagai masaalah. 

Allah menjadikan manusia secara fitrah mengandungi dua unsur, rohani dan jasmani kedua-duanya melengkapi di antara satu dengan yang lain. Kedua-dua unsur ini perlu diservis secara berterusan, jasmani dengan makanan dan minuman yang halal, adapun rohani pula dengan ibadah-ibadah dan ketaatan kepada Allah. Dalam tempoh setahun Islam memperuntukkan kepada penganutnya satu bulan iaitu bulan Ramadhan yang penuh di dalamnya pakej-pakej untuk servis jasmani dan rohani diri. Di dalamnya terdapat ibadah puasa satu ibadah yang bukan sahaja boleh memberikan kesihatan tubuh badan sebagaimana yang diakui oleh pakar-pakar perubatan bahkan lebih daripada itu lagi ianya adalah baja untuk menyuburkan rohani seseorang. Ibadah puasa membuang sifat-sifat mazmumah yang ada di dalam diri umpama membuang minyak kotor daripada enjin. Seseorang yang berpuasa tidak ada perasaan riya’ di dalam dirinya, kepada siapa dia mahu tunjuk-tunjukkan kerana semua orang Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Seseorang yang berpuasa melemahkan hawa nafsu yang didorong oleh syaitan untuk melakukan kemungkaran dan maksiat sebagaimana penafsiran setengah ulama kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Apabila masuknya bulan ramadhan maka syaitan-syaitan dibelenggu “ 




Seseorang yang berpuasa melatih dirinya untuk bersyukur akan ni’mat Allah yang melimpah ruah apabila melihat hidangan berbuka di hadapannya dan dia bergembira dengannya, bergembira pun dikira sebagai satu ibadah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“ Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan TuhanNya”.

Dan sudah tentu kemuncaknya apabila seseorang itu berpuasa akan meningkatkan lagi ketaqwaannya kepada Allah. Dia tinggal makan dan minumnya bukan kerana dipaksa dan bukan kerana diupah tetapi adalah hanya kerana melaksanakan perintah Allah Taala. Firman Allah yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa kepada Allah “.

Selamat melaksanakan ibadah puasa…




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Share button

Share |

Pengikut