
MUQADDIMAH
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan
usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan.”
Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w
pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan
Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu
puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka,
ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu
bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang
banyak.
Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abi Hurairah.
Takrif Puasa
Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan,
minum dan bercakap. Hal ini berbetulan dengan firman Allah s.w.t
menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26:
إِنِّي نَذَرْتُ لرَّحْمَنِ صَوْمًا
Maksudnya: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat
al‐Rahman.
Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang
perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam
dengan niat puasa.
Takrif Ramadhan
Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang
berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada
bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini
ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.
Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2
Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan
umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi. Hal ini
berdasarkan firman Allah dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ | |
|
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Dan ingatlah Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.
Maka pada saat ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin
keberkatan di bulan Ramadhan. Pada saat ini, kita tingkatkan komitment kita untuk
rakus mencari pahala. Pada saat ini juga kita pasang janji kita untuk berlumba
memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk beramal dan beribadah. Pada saat ini
kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan