Powered By Blogger

Iklankan Barangan Anda Disini.

Isnin, 31 Mei 2010

Tafsir Surah Al-An'am: 59 oleh President PAS


سُوۡرَةُ الاٴنعَام
۞ وَعِندَهُ ۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَ‌ۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ‌ۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ۬ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٍ۬ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٥٩)

Firman Allah bermaksud, "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja." (Surah Al-An'am: 59)


Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.


Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat itu mencatat apa yang gugur daripadanya."



Khamis, 13 Mei 2010

Menghalang Fungsi Masjid Bererti Meruntuh Masjid


Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas. Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah itu dibakar hangus. Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang dan mengajar agama di masjid Makkah.

Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.


Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syawkani dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syawkani mengatakan, "dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran berzikir dan mengajar. Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan bangunannyasahaja, tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umapamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum."

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana Abu Jahal menghalang Nabi s.a.w. beribadat di masjid, menghalang baginda ntuk mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid. Jaga keselamatan masjid bukan cara menguncinya. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid.

Satu kekeliruan apabila Islam hanya di masjid.

Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja. Antara sebab lain ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan.

Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah SWT, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid. Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid.

Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah seseiapa yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenarnya ( Surah at-Taubah, ayat 18).

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman. Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah SWT tidak layak untuk memakmurkan masjid dan disebut ayat berikut iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja.

Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah s.a.w.


Dipetik dari:http://presiden.pas.org.my/v2/

Share button

Share |

Pengikut